comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] MBSP akan kompaun pemilik anjing gigit pelajar 

NIBONG TEBAL: Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah melakukan siasatan ke atas pemilik anjing yang menyebabkan kacau ganggu apabila haiwan peliharaanya menyerang dan menggigit seorang pelajar sekolah hingga situasi itu tular di media sosial.

Dalam satu kenyataan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu memaklumkan pihaknya akan mengeluarkan kompaun terhadap pemilik selain melakukan pemeriksaan di sebuah rumah di Taman Pekatra Indah, Simpang Ampat, di sini, semalam.

Foto tular

Jelas kenyataan itu, anjing yang dilaporkan telah dipindahkan oleh pemilik ke satu pusat perlindungan haiwan di Butterworth.

“Oleh itu, MBSP akan melaksanakan siasatan lanjut bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai lokasi sebenar anjing terbabit berada dan tindakan dengan mengeluarkan kompaun menyebabkan kacau ganggu di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 kepada pemilik akan diambil.

“Manakala mengenai kes gigitan anjing, perkara ini adalah dibawah kawalan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan mangsa dinasihatkan untuk membuat rawatan dan pemeriksaan susulan di klinik atau hospital berhampiran.

“Kes ini akan disalurkan kepada pihak JPV untuk tindakan lanjut di bawah Protokol Veterinar Malaysia,” katanya.

Terdahulu, tular video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 2 minit dan lima saat di media sosial memaparkan dua pelajar perempuan berjalan kaki dipercayai untuk ke sekolah sebelum seekor anjing yang keluar dari sebuah rumah menyerang dan menggigit salah seorang pelajar itu.

Mengikut rakaman itu, kejadian didapati berlaku sekitar jam 7.28 pagi semalam.

Dalam video berkenaan, kelihatan pemilik anjing terbabit menjerit dan cuba menghentikan tindakan haiwan peliharaannya, namun didapati anjing miliknya terus menyerang dan menggigit pelajar sekolah terbabit hingga mangsa jatuh beberapa kali.

Seorang lagi pelajar menyelamatkan diri dengan menyorok di belakang sebuah kenderaan.

Insiden itu disedari seorang penunggang motosikal wanita yang melalui kawasan terbabit yang kemudian membantu pelajar perempuan berkenaan.

Bagaimanapun anjing itu terus bertindak agresif sebelum keluar seorang lelaki yang memegang sebatang kayu berlari mengejar haiwan itu bagi meleraikan kejadian terbabit.

 

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini