comscore
Tumpuan :
Nasional

MBS arah penempatan haram PATI diroboh

SEREMBAN: Majlis Bandaraya Seremban (MBS) mengarahkan pihak pemaju supaya merobohkan struktur penempatan warga asing yang didakwa dijadikan tempat tinggal pekerja di Taman Bandar Senawang, di sini.

Ketua Unit Komunikasi Korporat MBS, Shamaruddin Saidin berkata, hasil siasatan mendapati premis berkenaan tidak mematuhi peruntukan undang-undang di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Merujuk kepada petikan akhbar Harian Metro yang disiarkan pada 17 Julai lalu mengenai satu operasi serbuan bersepadu dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) baru-baru ini, pihak kami sudah menjalankan siasatan lanjut berhubung lokasi serbuan yang dikatakan penempatan haram warga asing.

“Sehubungan dengan itu, semalam, MBS mengambil tindakan dengan mengeluarkan notis kepada pihak pemilik tanah supaya merobohkan struktur bangunanserta-merta,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, hasil semakan juga mendapati tanah yang dijadikan lokasi penempatan berkenaan juga adalah milik pemaju iaitu sebuah syarikat pembinaan yang menjalankan projek perumahan di kawasan terbabit.

“Pihak kami sudah melakukan semakan dengan Jabatan Undang-Undang dan Penguatkuasaan mengenai situasi itu dan mendapati ia menjadi satu kesalahan mengikut Seksyen 70(1), 70(11) dan 87(1), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

“Bagi mana-mana bangunan yang dibina tanpa mendapat kebenaran daripada PBT terutamanya sehingga menyebabkan kacau ganggu kepada orang awam,” katanya.

Jelasnya lagi, sekiranya arahan notis tidak dipatuhi, pihak Majlis akan mengambil tindakan perundangan yang lebih tegas kepada pihak pemilik tanah mengikut peruntukan perundangan yang ditetapkan.

“Kami sangat menghargai warga Bandaraya Seremban yang sentiasa melaporkan sebarang aduan atau pertanyaan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) mbseremban.spab.gov.my atau Aplikasi Respons Rakyat,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan JIM bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan pihak polis ke atas satu penempatan haram warga asing yang dikatakan sudah bertapak sejak 15 tahun lalu.

Bagaimanapun, pihak pemaju memaklumkan penempatan itu sebenarnya rumah pekerja mereka di atas tanah persendirian.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini