comscore
Tumpuan :
Nasional

MBPP Sudah Arah Henti Kerja Tanah di Teluk Kumbar

Kerja tanah berhampiran Taman Sahabat Indah Kampung Suluk, Teluk Kumbar, George Town dihentikan sejak 5 Ogos lalu kerana disyaki dilakukan tanpa kebenaran. – FOTO : NSTP

GEORGE TOWN: Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sudah memberi surat arahan memberhentikan kerja tanah kepada pemilik tanah berhampiran Taman Sahabat Indah Kampung Suluk, Teluk Kumbar, di sini, kerana dilakukan tanpa kebenaran.

MBPP menerusi kenyataannya berkata, surat arahan itu dikeluarkan pada 5 Ogos lalu selepas siasatan dilakukan Jabatan Kejuruteraan MBPP susulan aduan orang awam.

Menerusi siasatan, didapati kerja tanah berkenaan disyaki dijalankan di atas Lot 1779, Mukim 9, Daerah Barat Daya.

“Ketika siasatan di tapak dilakukan MBPP, terdapat kerja tanpa kebenaran yang membabitkan pemotongan pokok, cerun dan membina jalan sementara menggunakan jengkaut sedang dijalankan di situ.

“Arahan lisan dikeluarkan kepada operator jengkaut supaya memberhentikan kerja yang sedang dijalankan,” katanya menerusi kenyataan di sini, semalam.

Terdahulu, media melaporkan mengenai kerja pembersihan hutan di kawasan bukit berkenaan, yang menjadi tanda tanya sama ada projek pembinaan asrama pekerja warga asing sudah dijalankan.

Difahamkan ia adalah antara lokasi yang dicadangkan bagi pembinaan projek berkenaan kelak dan dijangka menjadi laluan masuk ke asrama itu.

Mengulas lanjut MBPP berkata, menerusi surat terbabit, pemiliknya diarah supaya menghentikan semua aktiviti kerja tanah di tapak itu serta merta.

Pihak berkenaan juga perlu menutup laluan masuk dan keluar dengan meletakkan penghadang di tapak itu dengan segera.

“Pemilik tanah diarah supaya bertanggungjawab bagi memastikan kawasan lot tanah berada dalam keadaan selamat, tidak mendatangkan bahaya atau mengancam keselamatan, kacau ganggu kepada orang awam, harta benda dan persekitaran.

“Kertas siasatan akan disediakan serta disusuli dengan tindakan perundangan,” katanya lagi. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini