Tumpuan :
Nasional

MBPP arah medan selera tutup 14 hari selepas jumpa bangkai tikus, urungan najis tikus dan lipas

Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengarahkan sebuah medan selera di Pulau Tikus ditutup. – Foto: MBPP/Facebook

GEORGE TOWN: Sebuah medan selera di Pulau Tikus, di sini telah diarahkan tutup selama 14 hari oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bermula semalam selepas hasil pemeriksaan menemui bangkai tikus dan urungan najis tikus serta lipas.

MBPP dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya menjalankan operasi kebersihan di kedai kopi berkonsepkan medan selera itu semalam, mendapati kebersihan premis terbabit tidak mencapai tahap memuaskan.

“Mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 38(1) Establisymen Makanan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) 1991, arahan penutupan itu adalah berdasarkan faktor markah penilaian kebersihan gred premis yang tidak mencapai tahap memuaskan dan penemuan bangkai tikus serta urungan najis tikus dan lipas.

“Ketika pemeriksaan, pegawai MBPP turut mendapati sebuah gerai yang menyewa di medan selera itu berada dalam keadaan uzur dengan bau meloyakan,” katanya.

“Teguran serta khidmat nasihat turut diberikan pegawai Jabatan Pelesenan MBPP kepada pengusaha medan selera terbabit, kata kenyataan itu lagi.

“Antara tindakan disyorkan ialah kawalan serangga secara berkala, penyediaan perangkap minyak yang sempurna, penggantian bumbung gerai yang uzur serta pematuhan larangan penggunaan penyedut minuman plastik.

“Semua pengusaha makanan dinasihat menitikberatkan aspek kebersihan, terutama di bahagian dapur, stor penyimpanan bahan mentah serta sistem perangkap minyak bagi memastikan makanan disediakan adalah selamat untuk pelanggan,” menurut kenyataan itu lagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini