comscore
Tumpuan :
Nasional

MBMB siasat isu rumah retak

 

FOTO: NSTP

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan menyiasat isu rumah 300 penduduk yang didakwa retak teruk akibat projek pembinaan pangsapuri berhampiran penempatan mereka di Kampung Tengkera Pantai, Tengkera di sini.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Zainal Abu berkata, siasatan akan membabitkan punca keretakan termasuk tempoh kerja-kerja penanaman cerucuk besi (piling) dan kaedah dilakukan.

Beliau berkata, jika siasatan mendapati keretakan itu berpunca daripada projek pembinaan tersebut, pihaknya akan menggesa pemaju untuk bertanggungjawab dengan memberikan pampasan sewajarnya kepada penduduk terbabit.

“Saya sedang mendapatkan dokumen semula kelulusan yang telah pemaju peroleh ketika kita membenarkan projek dimulakan.

“Ini termasuklah pelan rancangan, bangunan dan kerja tanah kerana lazimnya kita akan letakkan syarat berhubung kerja-kerja penanaman cerucuk mengikut kaedah sesuai.

“Kalau kita dapati keretakan disebabkan projek itu, pasti mereka kena bertanggungjawab dan memberikan pampasan,” katanya.

Menurut Zainal, satu mesyuarat berhubung kes itu akan diadakan secepat mungkin bagi pengumpulan maklumat mengenai projek berkenaan.

Antara syarat kaedah penanaman cerucuk dibenarkan jelasnya, adalah ‘injection pile’, yang mengggunakan tekanan, ‘bored piles’ atau ‘driven pile.’

“Kita mahu siasat kaedah apa yang pemaju gunakan untuk membina cerucuk sama ada tekanan, mengorek dahulu baru dikonkrit ataupun paling kita tidak mahu adalah ‘driven pile’ yang guna penukul besi.

“Kita tengoklah apa yang membuatkan rumah itu retak, mungkin juga disebabkan pergerakan tanah oleh parit.

“Saya jangka siasatan ini rumit kerana banyak perkara perlu diteliti termasuk apa yang ada di antara site pembinaan dan rumah mangsa ini,” tambahnya.

Loading...
Terkini