Tumpuan :
Nasional

MBKT arah premis perniagaan tutup dua jam setiap Jumaat 

Foto hiasan

KUALA TERENGGANU: Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengarahkan premis perniagaan dalam kawasan pentadbirannya ditutup operasi selama dua jam pada setiap hari Jumaat.

Penutupan operasi semua premis perniagaan bermula jam 12.30 tengah hari hingga jam 2.30 petang setiap Jumaat itu, berkuat kuasa sejak 1 Januari lalu.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif berkata, arahan berkenaan bukan sahaja membabitkan pasar raya, sebaliknya semua premis perniagaan termasuk restoran dan kedai makan.

“Pemilik pasar raya dan semua premis perniagaan termasuk restoran dan kedai makan diminta memberi kerjasama memastikan aktiviti tidak beroperasi dalam tempoh itu,” katanya.

Arahan penutupan premis perniagaan dua jam pada setiap Jumaat bukan isu terbaru, sebaliknya kerajaan negeri pernah mengeluarkan arahan pada waktu solat Jumaat pada 2014.

Semua pemilik premis perniagaan dan pasar raya serta kedai menjual pakaian akur dengan arahan itu apabila tidak menjalankan aktiviti perniagaan pada masa ditetapkan.

Mengulas lanjut, Rosli berkata, MBKT akan mengambil tindakan termasuk membatalkan lesen perniagaan jika pemilik premis perniagaan gagal mematuhi arahan dikeluarkan.

“Jika kita dapati pemilik semua premis perniagaan gagal mematuhi arahan ditetapkan, tindakan penguatkuasaan akan dikenakan berdasarkan undang-undang yang diguna pakai,” katanya.

Loading...
Terkini