comscore
Tumpuan :
Nasional

MBKOKU diminta bincang dengan industri, tambah baik infrastuktur untuk golongan OKU

FOTO: NSTP

BUTTERWORTH: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) meminta Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya (MBKOKU) supaya mengadakan perbincangan dengan pihak industri terutama dalam sektor perkilangan bagi menambah baik infrastruktur dan kemudahan untuk pekerja Orang Kurang Upaya (OKU).

Menteri berkenaan, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia berikutan ketiadaan atau kekurangan fasiliti yang mesra OKU menyebabkan peluang golongan itu untuk mendapat tempat dalam sektor tersebut amat terhad.

Justeru, beliau berharap komunikasi antara pihak-pihak berkaitan dapat dilakukan segera bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil sekali gus sasaran satu peratus Dasar Penggajian OKU yang ditetapkan kerajaan sejak 2010 dapat dicapai.

“Mungkin salah satu punca (kerajaan) belum mencapai sasaran satu peratus Dasar Penggajian OKU akibat kekangan dari segi infrastuktur kerana kebanyakan bangunan adalah lama dan tidak mempunyai kemudahan untuk golongan tersebut bekerja sekali gus menyukarkan akses mereka dari satu tempat ke tempat lain.

“Sebab itu kita minta MBKOKU untuk percepatkan lagi komunikasi dalam hal ini supaya ia dapat diambil tindakan oleh pihak yang bertanggungjawab dalam membuat penambahbaikan terhadap infrastuktur kerana masalah ini bukan hanya berlaku di satu negeri saja, tapi seluruh Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke kilang Flextronics (Penang) Sdn Bhd di sini hari ini.

Datuk Seri Nancy turut mengharapkan sokongan daripada pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menggaji pekerja golongan OKU dan sebagai galakan kepada majikan, beliau menyatakan kerajaan memberi pelbagai insentif termasuk Potongan bagi Menggaji OKU dan Potongan Bagi Cukai Latihan yang diluluskan dan Potongan Tunggal (Khas) iaitu pengubahsuaian bangunan atau keperluan alat sokongan OKU.

Berdasarkan statistik yang direkodkan sehingga 30 April lepas, Datuk Seri Nancy berkata, jumlah keseluruhan OKU yang aktif adalah seramai 703,287 orang manakala OKU yang layak bekerja adalah 372,164 orang. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini