Tumpuan :
Nasional

MBK sita 40 ekor ayam diternak di taman perumahan

40 ekor ayam yang diternak di sebuah taman perumahan disita Majlis Bandaraya Kuantan (MBK). FOTO: Ihsan MBK

KUANTAN: Sebanyak 40 ekor ayam yang diternak di sebuah taman perumahan di daerah ini disita Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), hari ini.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Nor Hayatul Huda Othman berkata, struktur reban dan sangkar besi dibina secara haram oleh seorang penduduk dirobohkan.

Katanya, tindakan penguatkuasaan itu susulan tiga aduan yang diterima daripada penduduk sekitar mengenai gangguan kejiranan akibat aktiviti penternakan ayam yang dijalankan oleh seorang penduduk di taman perumahan terbabit.

“Sebelum itu, MBK sudah mengeluarkan notis untuk menghapuskan kacau ganggu terbabit tetapi hasil semakan dan susulan mendapati pemilik reban ayam gagal mematuhi notis yang dikeluarkan.

“Oleh itu, pihak majlis melaksanakan operasi melupus ayam ternakan dan merobohkan struktur reban ayam di bawah Seksyen 82, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) hari ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, operasi itu membabitkan seramai 38 anggota MBK termasuk anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Veterinar Pahang.

Katanya, antara tindakan yang dilaksanakan ialah menangkap 40 ekor ayam, merobohkan sangkar besi dan reban ayam yang didirikan secara haram.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini