
KUANTAN: Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) menyediakan sebanyak 1,634 gerai jualan pasar Ramadan, bazar Aidilfitri dan bazar sahur di daerah ini, sepanjang Ramadan bermula petang ini.
Ia membabitkan tujuh tapak bazar Aidilfitri membabitkan 493 peniaga dan 29 bazar Ramadan (1,140 peniaga) serta satu bazar sahur yang dianjurkan oleh 36 pihak selepas mendapat kelulusan daripada MBK.
Ketua Bahagian Perhubungan Awam dan Korporat MBK, Nor Hayatul Huda Othman berkata, permintaan terhadap gerai jualan di bazar Ramadan dan Aidilfitri tahun ini begitu menggalakkan berbanding tahun sebelumnya.
Katanya, bazar Ramadan Taman Kerang (Mahkota Square), Taman Gelora Zon A, TMG Tanjung Lumpur, Taman Tas dan Jaya Gading antara yang setiap tahun mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Beliau berkata, bazar Aidilfitri di perkarangan Stadium Darulmakmur, Dataran Sekilau, Mahkota Square, Ubi Street dan Menara Kuantan 188 sudah mula beroperasi minggu lalu yang menawarkan pelbagai kelengkapan raya hampir setiap tahun turut mendapat sambutan menggalakkan daripada pengguna daerah ini termasuk dari luar.
“Bagi memastikan peniaga terutama di pasar Ramadan sentiasa mematuhi aspek kebersihan dan peralatan yang digunakan, kita akan menjalankan pemantauan secara berterusan,” katanya, dihubungi di sini.
Beliau berkata, pihaknya juga akan membuat pemeriksaan sekiranya terdapat pemilik yang bertindak menyewakan permit atau gerai jualan mereka kepada pihak ketiga.
Nor Hayatul Huda berkata, bagi memastikan aktiviti jualan berjalan dengan baik dan selesa kepada pengunjung, semua peniaga dinasihatkan mengenakan pakaian sopan dan bertudung kepala serta wajib meletakkan tanda harga pada setiap barangan dijual.
“Harga ditawarkan kepada pelanggan juga perlu berpatutan dan tidak terlalu mahal sehingga membebankan pengguna dan kita akan meminta kerjasama pegawai serta kakitangan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi tujuan pemantauan dan pemeriksaan.
“Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan juga akan melakukan pemeriksaan sekiranya terdapat aduan yang berkaitan berlakunya keracunan makanan berlaku pada pengguna,” katanya pihak MBK sedia menerima sebarang aduan pengguna.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.