Tumpuan :
Nasional

‘MB Selangor tolonglah jumpa kami’ – penduduk Kampung Sungai Sireh

Tangkap layar video tular

Oleh : Salina Zakaria

PELABUHAN KLANG: Menteri Besar Selangor tolonglah jangan pinggirkan kami, jumpalah kami untuk menyelesaikan isu penting ini.

Demikian rintihan dikongsikan penduduk Kampung Sungai Sireh di sini yang pernah mengemukakan bantahan bagi pembinaan landasan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) tanpa sebarang pemakluman atau sesi libat urus bersama mereka.

Rayuan itu juga dikemukakan selepas 300 penduduk dengan kira-kira sejumlah 89 kediaman bakal terkesan tanpa sebarang lokasi alternatif pemindahan yang sesuai.

Menerusi perkongsian secara langsung dilakukan di Tik Tok oleh salah seorang wakil penduduk kira-kira jam 9.00 malam tadi, penduduk sekali lagi meluahkan kekesalan mereka apabila menerima satu notis pemindahan sekali lagi, pagi semalam.

“Sebab itu kami buat ‘live’ ini agar MB Selangor betul-betul dengar dan pandang serius isu ini.

Kami sudah buat pelbagai cara hendak menyelesaikan isu ini dan bertemu pihak yang terlibat. Tapi masih lagi tiada sebarang reaksi positif,” ujar salah seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Suffi Kamari.

Tangkap layar video tular

Menurut penduduk lagi isu berkenaan sudah berlarutan sejak 2017 dan sehingga September tahun lepas masih lagi tiada respon daripada Menteri Besar Selangor.

Dalam pada itu salah seorang penduduk Roslan Omar memberitahu keluarganya antara keluarga yang diarahkan berpindah..

“Tolonglah kami mahu bincang pampasan jika benar-benar rumah kami terkesan. Kami tidur tidak lena siang malam. Saya sudah 18 tahun duduk di rumah ni sejak diarahkan berpindah pada tahun 2005.

Dahulunya kawasan ini hanya setinggan, kami pernah berpindah sekejap untuk tujuan pembangunan. Namun kali ini kami dipaksa untuk berpindah lagi untuk tujuan yang sama. Jika betul bantulah dari segi pampasan atau kediaman. Ini rumah kami,” ujarnya ketika ditanya kesan dihadapi selepas diarah berpindah.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Sungai Sireh, yang mahu dikenali sebagai Azman berkata disebabkan isu ini terlalu lama iaitu sejak tahun 2017, penduduk sebenarnya telah melakukan kira-kira 20 pertemuan dengan pihak berkaitan.

Selain itu, penduduk yang terlibat juga mewujudkan jawatankuasa bertindak membabitkan perkara-perkara yang dibangkitkan termasuk membantah jajaran ECRL daripada melalui taman ini (kerana menjejaskan kediaman penduduk).

“Sebenarnya kami telah melakukan pertemuan dengan pelbagai pihak termasuk Kementerian Pengangkutan dan pihak pemaju projek, namun semuanya masih lagi melalui jalan buntu,” ujarnya.

“Malah kami dimaklumkan pihak berkaitan iaitu salah satu daripada 20 pihak terlibat yang kami temui menjelaskan isu ini hanya boleh diselesaikan dengan kuasa Menteri Besar Selangor sahaja.

Oleh kerana itu, kami mahu nama yang disebutkan ‘turun padang’ melihat masalah ini segera,” katanya lagi.

Pada video secara langsung dikongsikan, penduduk turut menerima kehadiran pihak berkuasa bagi menyuraikan keadaan.

Difahamkan ‘video disiarkan menerusi ‘live Tik Tok bermula kira-kira jam 9 malam itu juga ditonton kira-kira 3,000 netizen yang rata-rata memberikan kata-kata semangat kepada penduduk kampung yang terkesan.

Pada Februari lalu, Menteri Besar Amirudin Shari berkata kerajaan negeri berjanji menyelesaikan masalah dihadapi penduduk Taman Sungai Sireh dekat Klang yang terlibat dengan projek ECRL.

Selain kediaman, turut terkesan dengan projek itu, 86 lot tanah kubur di dua kawasan laluan.

Penduduk yang terkesan juga pernah mengadakan bantahan secara besar-besaran termasuk menghantar memorandum bantahan kepada Ahli Parlimen Kapar, Dr. Halimah Ali pada Februari lalu.

Laluan ECRL di Selangor melibatkan jajaran sepanjang 90.72 kilometer melalui daerah Gombak, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Klang.

Loading...
Terkini