Oleh Amira Suraini Che Mohamad
KANGAR: “Saya baca tapi saya tak tulis (balas), saya tak pernah koyak pun apabila dikomen yang berbagai-bagai.”
Demikian kata Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli yang bersedia menerima apa jua pandangan dan cadangan untuk kebaikan bersama ke arah pembangunan negeri itu.
Jelasnya, beliau menyertai banyak kumpulan sembang melalui aplikasi Whatsapp bersama rakyat dari pelbagai latar belakang politik namun tidak sesekali ‘koyak’ walaupun dikritik.
“Ada orang kata pada saya, YB boleh tahan dengan kritikan dan aduan yang dibuat oleh ahli-ahli kumpulan (Whatsapp). Saya tahu ada satu kumpulan tu melibatkan semua parti dan ada yang disaman berjuta-juta ringgit disebabkan komen yang tidak menentu”.
“Tapi saya tak pernah koyak pun. Kalau nak koyak ni tak larat nak koyak,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis.
Beliau menjelaskan demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kayang, Asrul Aimran Abd Jalil berhubung perancangan kerajaan bagi menjadikan pandangan dan idea rakyat sebahagian daripada kerangka pembangunan negeri.
Jelasnya lagi, kerajaan negeri sentiasa prihatin dan mengambil kira pandangan serta idea rakyat dalam merangka pembangunan negeri.
“Sebagai contoh, dalam membangunkan sesebuah kawasan dalam Rancangan Kawasan Khas (RKK), kerajaan negeri akan mengadakan program publisiti dan penyertaan awam bersama rakyat di situ setiap pandangan rakyat akan diambil kira dalam merangka pembangunan bagi kawasan tersebut.
“Kerajaan negeri menerusi bahagian pentadbiran daerah juga sentiasa menerima permohonan, aduan dan cadangan daripada pelbagai lapisan rakyat seperti individu, wakil komuniti, persatuan, jawatankuasa pembangunan dan keselamatan kampung hinggalah ke wakil rakyat,” jelasnya.
Menurutnya, kebanyakkan aduan dan cadangan yang diterima kerajaan negeri kini adalah berkisar pada isu pembangunan kawasan luar bandar.