Tumpuan :
Nasional

MB Perlis minta rakyat duduk rumah, angin ribut undang bahaya

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Hujan lebat disusuli angin kencang melanda beberapa kawasan sekitar Perlis hari ini menyebabkan pokok tumbang, selain gangguan bekalan elektrik.

Antara kawasan terjejas teruk termasuk sekitar Kangar, Kepala Batas Sanglang, Jalan Madu Sempering dan Kampung Bakau.

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli melalui satu muat naik di Facebook mengingatkan rakyat negeri supaya berhati-hati susulan keadaan cuaca yang tidak menentu itu.

“Mohon semua duduk di rumah, jangan keluar dulu. Angin ribut kuat mengundang bahaya.

“Penunggang motor (motosikal), tolong cari tempat berteduh yang selamat. Semoga Allah melindungi kita semua,” katanya.

Sementara itu di ruangan komen, Menteri Besar Perlis itu memaklumkan kerajaan negeri sedia membantu penduduk yang terjejas akibat ribut berkenaan.

Di ruangan komen juga netizen berkongsi beberapa klip video mengenai keadaan cuaca di Perlis, yang memaparkan keadaan hujan yang berlarutan termasuk angin kencang.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada bagi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Dalam kenyataan hari ini, MetMalaysia memaklumkan amaran itu berkuat kuasa sehingga Khamis ini.

Amaran dikeluarkan hasil analisis beberapa model cuaca dijalankan MetMalaysia terhadap penumpuan angin yang berlaku di utara Semenanjung dan barat Sabah yang dijangka berterusan sehingga Sabtu ini.

Keadaan itu, kata MetMalaysia, berpotensi menghasilkan ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang dalam tempoh lebih panjang di kawasan terbabit, serta angin kencang serta laut bergelora di perairan Laut China Selatan dan Selat Melaka Utara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini