Oleh: Kumaran Rajamoney
IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyifatkan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Ishsam Shahrudin sebagai kehilangan besar.
Mengenalinya sejak tahun 90-an, Datuk Saarani menyifatkan Allahyarham sebagai seorang pemimpin yang sering memperjuangkan perihal kepentingan rakyat di kawasan DUN Ayer Kuning.
“Saya mengenalinya sejak dia bermain bola sepak lagi. Ketika saya menjadi Ketua Pembangkang, beliau sering memajukan masalah yang dihadapi rakyat di Ayer Kuning dan Tapah.”
“Apabila saya menjadi Menteri Besar, sifatnya tetap sama. Saya tidak dapat elak dari meluluskan permohonan berkaitan kehendak dan kebajikan rakyat di kawasannya. Ini termasuk yang terkini, usaha menaik taraf masjid,” katanya.
Beliau yakin Allahyarham adalah seorang wakil rakyat yang memberikan perkhidmatan yang baik di kawasannya.
Allahyarham Ishsam rebah selepas menyertai kejohanan bola sepak persahabatan di Stadium Bandaraya, di Pulau Pinang petang semalam.
Allahyarham dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Pulau Pinang (HPP) pada jam 5.40 petang, namun disahkan meninggal dunia pada jam 6.28 petang.
Allayarham memenangi kerusi DUN Ayer Kuning buat penggal pertama dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dengan majoriti 2,213 undi.
Beliau merupakan pemain bola sepak negeri Perak dan Negeri Sembilan pada tahun 1980 dan 90-an dan pernah mewakili skuad kebangsaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.