comscore
Tumpuan :
Nasional

MB Perak minta TNB maklum lebih awal pelepasan air empangan

Empangan Sultan Azlan Shah di Ulu Kinta. – Foto fail NSTP

SUNGAI SIPUT: Tenaga Nasional Berhad (TNB) diarah memaklumkan kerja-kerja pelepasan air empangan di empat stesen janakuasa sepanjang Sungai Perak lebih awal bagi mengelakkan peristiwa banjir besar 2014 berulang.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pemberitahuan itu membolehkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) serta orang ramai membuat persiapan lebih rapi.

“Kita ambil iktibar pengalaman 2014 apabila TNB membuat keputusan melepaskan air dari Empangan Temengor dan Empangan Kenering.

“Waktu itu mereka tidak maklumkan kepada Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) mengakibatkan orang di bahagian hilir Sungai Perak tidak sempat buat persiapan dan kesannya banjir besar berlaku.

“Kita tak menyalahkan TNB kerana itu kerja dia dan empangan itu miliknya, namun kita minta ada koordinasi dimaklumkan kepada PDT,” katanya ketika meninjau Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Lasah, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Datuk Mohd Zolkafly Harun yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak.

Mengulas mengenai pelepasan air Empangan Chenderoh yang disahkan TNB hari ini, Saarani berkata beliau hanya dimaklumkan pada 12.13 tengah hari tadi selepas kerja pelepasan air selesai, manakala JPBD Kuala Kangsar yang dipengerusi oleh Pegawai Daerah langsung tidak dimaklumkan mengenai perkara terbabit.

“Bukan hanya daerah Kuala Kangsar, tetapi juga Perak Tengah dan Hilir Perak supaya orang boleh menjangkakan berapa jam air itu sampai.

“Saya harap masalah komunikasi ini dapat diatasi kerana kita tidak mahu mangsa terpaksa ‘lari sehelai sepinggang’ (semasa pindah ke PPS) bermakna mereka terkejut,” katanya.

Dalam pada itu, Saarani berkata, semua empangan di sepanjang Sungai Perak berada di bawah paras bahaya dan terkawal.

“Paras air di Empangan Kenering dicatatkan 111.14 meter dan Empangan Chenderoh pula 60.40 meter, masing-masing berada di paras amaran, manakala Empangan Temengor dicatatkan pada paras 241.24 meter dan Empangan Bersia 140.34 meter berada pada paras normal.

“TNB perlu memastikan pelepasan air dari Empangan Chenderoh tidak naik tinggi akibat dari pelepasan air dari Empangan Kenering.

“Oleh itu, pelepasan terkawal yang dilakukan di Chenderoh hanya 400 meter padu sesaat iaitu dalam lingkungan yang dibenarkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS),” katanya.

Setakat jam 4 petang tadi, seramai 1,013 mangsa daripada 320 keluarga di empat daerah dipindahkan ke tujuh PPS dalam negeri ini.

PPS SK Lasah yang dibuka sejak pagi kelmarin menempatkan 187 orang daripada 54 keluarga yang terjejas ekoran banjir di Kampung Lasah, Kampung Tok Sirat dan Pekan Lasah.

Terdahulu, Saarani juga melawat 224 mangsa daripada 68 keluarga di daerah Hulu Perak yang berlindung di PPS SK Pahit dan SK Kerunai, pagi tadi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini