KUANTAN: Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail hari ini mengumumkan penyusunan semula portfolio melibatkan tiga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO).
Wan Rosdy berkata keputusan dibuat menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) yang bermesyuarat hari ini serta selaras dengan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai Datuk Amizar Abu Adam sebagai EXCO yang baharu.
Beliau berkata Amizar akan memegang portfolio Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan mengambil alih tugas ADUN Muadzam Shah Razali Kassim yang akan menerajui portfolio Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan.
ADUN Bebar Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff yang sebelum ini memegang portfolio Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan pula dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau.
“Penyusunan portfolio ini berkuat kuasa serta-merta. Saya mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada EXCO terlibat.
“Saya berharap dengan penyusunan semula portfolio EXCO, pentadbiran Kerajaan Pahang akan lebih kemas dan mantap terutamanya dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Amizar yang berasal dari Felda Chemomoi, Bentong telah mengangkat sumpah sebagai EXCO Pahang yang baharu di Istana Abdulaziz, di sini.
Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan itu berlangsung di hadapan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Amizar memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 7 Okt 2023, yang diadakan susulan kekosongan luar jangka selepas penyandangnya Datuk Seri Johari Harun, maut dalam insiden pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos 2023.
Allahyarham Johari sebelum ini merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang.
— BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.