Oleh Zulfakhri Shamsul Ariffin
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan delegasi Kerajaan Negeri Pahang.
Melalui satu hantaran di Facebook rasminya, beliau memaklumkan pertemuan itu membincangkan aspek pembangunan dan kemajuan negeri Pahang.
“Pertemuan tersebut menyentuh perihal aspek pembangunan serta kemajuan dan kemakmuran negeri Pahang.
“InshaAllah, kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri Pahang akan terus dipererat demi kelangsungan dan kejahteraan rakyat Pahang khususnya,” katanya.
Dalam satu hantaran berlainan, beliau memaklumkan, pertemuan bersama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan delegasi Kerajaan Negeri Perak turut diadakan hari ini.
“Kerjasama kukuh antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri Perak akan terus dipererat terutamanya dalam aspek pembangunan dan kesejahteraan rakyat negeri Perak,” katanya melalui hantaran tersebut.
Terdahulu, Perdana Menteri yang baru pulang dari lawatan rasmi ke Indonesia, tiba di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), kira-kira jam 10 malam tadi untuk mengadakan perjumpaan dengan pemimpin Sabah berhubung kemelut politik di negeri itu.