Tumpuan :
Nasional

MB Kedah ditegur agar henti pembohongan terkait Kerajaan Perpaduan


Oleh Kumaran Rajamoney

ALOR SETAR: Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Keadilan Kedah, Nor Azrina Surip menegur Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor agar berhenti melakukan pembohongan berkait Kerajaan Perpaduan termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Datuk Seri Muhammad Sanusi katanya perlu menjadi sosok yang menenangkan semua pihak agar urusan kepentingan rakyat dapat dilaksanakan.

Pendekatan itu katanya bertepatan dengan titah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Keenam, Dewan Undangan Negeri Kedah ke-14 pada Mac yang mahu politik secara berlebihan dielakkan dan sentiasa berusaha menjaga hubungan di antara satu sama lain khususnya antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun, Menteri Besar Kedah katanya meneruskan kenyataan yang mengeruhkan hubungan ini termasuk isu larangan terhadapnya untuk menghadiri mana-mana majlis kerajaan persekutuan termasuk Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA’23) di Langkawi.

“Terkini, tular lagi isu Menteri Besar Kedah dalam ucapannya di satu majlis ada usaha terancang untuk menggantikan beliau dengan Setiausaha Kerajaan Negeri dalam Majlis Kewangan Negara.”

“Walhal di dalam Perkara 108 Perlembagaan Persekutuan menetapkan Majlis Kewangan Negara perlu diketuai Perdana menteri atau mana-mana Menteri dilantik, manakala setiap negeri diwakili individu diperkenan Sultan atau Yang Di-Pertua Negeri. Jelas menunjukkan tiada Kuasa Perdana Menteri untuk menamakan orang lain selain individu yang di perkenan Sultan jika mengambil konteks dalam negeri Kedah.”

Justeru, Nor Azrina berkata pembohongan seperti itu tidak wajar dilakukan meskipun bertujuan berjenaka untuk menarik perhatian atau sokongan.

“Saya mengharapkan agar kepimpinan Menteri Besar Kedah mampu menterjemahkan kebenaran dalam ruang lingkup tindakan dan juga perkataan meskipun berdepan dengan sesuatu yang dianggap permusuhan.”

“Saya memilih untuk menyatakan kebenaran meskipun adakalanya kebenaran ini adalah suatu yang paling kejam dalam hidup. Kebohongan tidak wajar dijadikan kebiasaan kerana akhirnya ia akan membina ketamadunan yang tempang kepada rakyat kebanyakan,” katanya.

Loading...
Terkini