comscore
Tumpuan :
Nasional

Maybank Pindah Ke Menara Merdeka 118 Pada 2025

 

KUALA LUMPUR: Maybank akan memindahkan ibu pejabat korporatnya dari Menara Maybank di Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur ke Menara Merdeka 118 pada suku pertama 2025.

Ia melibatkan perjanjian penyewaan dengan Permodalan Nasional Bhd (PNB) bagi tempoh permulaan tiga tahun dan pembaharuan untuk enam penggal selama tiga tahun setiap penggal.

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Khairussaleh Ramli berkata keputusan strategik untuk memindahkan ibu pejabatnya dibuat berikutan pertimbangan yang teliti dan terperinci mengenai keperluan operasi masa depan syarikat perbankan itu.

“Kami mempertimbangkan kos-manfaat menaik taraf Menara Maybank untuk memenuhi kelebihan operasi dan kecekapan, dan piawaian kemampanan terkini. Untuk berbuat demikian, kami memerlukan pelaburan yang besar, apatah lagi kos penyelenggaraan dan keperluan untuk menempatkan pejabat dan pekerja kami ke pelbagai lokasi di Lembah Klang,” katanya pada Majlis Menandatangani Perjanjian antara Maybank dan PNB.

PNB akan menjadi pemberi pajak induk Menara Maybank dan menanggung semua perbelanjaan berkaitan bangunan termasuk penyelenggaraan, insurans dan cukai.

Perjanjian itu juga membolehkan Maybank merealisasikan pendapatan sewa, di samping menangguhkan pelupusan Menara Maybank ke satu tarikh lain, iaitu apabila pasaran hartanah semakin pulih.

Jumlah penghunian Maybank sebanyak 650,000 kaki persegi di Menara Merdeka 118, kurang daripada keluasan bersih semasa di Menara Maybank iaitu 1 juta kaki persegi.

Loading...
Terkini