KUALA SELANGOR: Kehilangan seorang lelaki warga emas sejak awal bulan lalu terungkai selepas mayatnya ditemui di kawasan kebun kelapa sawit di Jalan Maksah 2, Jeram, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin, berkata pihaknya menerima laporan mengenai penemuan itu daripada orang awam pada jam 8.14 malam.
“Pengadu mengesahkan bahawa mayat tersebut adalah datuknya yang dilaporkan hilang pada 3 Januari lalu,” katanya.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa, berusia 87 tahun, mengalami masalah kurang daya ingatan. Kali terakhir beliau dilihat oleh ahli keluarganya adalah pada jam 3 petang, hari yang sama beliau dilaporkan hilang.
Selain itu, katanya, terdapat beberapa keping wang kertas termasuk RM50, RM10 dan RM1 bertaburan di sekitar lokasi mangsa semasa ditemui.
“Mangsa tidak membawa kad pengenalan atau sebarang beg,” katanya.
Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk proses bedah siasat.
“Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” tambah Azaharudin.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau melaporkannya ke balai polis berhampiran.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.