KUCHING: Lelaki warga emas yang dilaporkan hilang di Kampung Taie, Jalan Bali-Riih, Serian sejak hampir dua minggu lalu ditemui meninggal dunia, hari ini.
Mayat mangsa, Nipol Rantai, 73, ditemui oleh pekerja ladang kelapa sawit yang terletak kira-kira empat kilometer dari kampungnya kira-kira jam 11.30 pagi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mayat yang hampir reput itu ditemui di kawasan lereng bukit.
Menurutnya, mayat mangsa disahkan oleh anaknya selepas pengecam dibuat menerusi kemeja berwarna hitam dan seluar jeans yang dipakainya.
“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian diarah ke lokasi sebaik menerima maklumat penemuan mayat daripada Balai Polis Serian.
“Bomba kemudian memasukkan mayat mangsa ke dalam beg mayat dan mengeluarkannya dari kawasan lereng bukit sebelum diserahkan kepada polisuntuk di hantar ke Hospital Serian untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Mangsa dilaporkan hilang di kawasan hutan di Kampung Taie, Serian pada 9 Mac lalu.
Susulan laporan itu, gerakan mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan membabitkan anggota bomba dengan bantuan 10 anggota polis, empat anggota polis bantuan syarikat perladangan serta 30 penduduk kampung.