
Oleh: Safwan Sawi
SANDAKAN: Mayat seorang wanita warga emas ditemui oleh sepasukan bomba selepas membuka pintu sebuah rumah yang terkunci di Taman Indah Jaya, di sini, semalam.
Mangsa berusia 76 tahun ditemui dalam keadaan tertiarap di kerusi oleh pasukan bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Severinus Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pintu rumah terkunci daripada polis jam 4.01 petang.
Katanya, sepasukan bomba bersama jentera digerakkan ke lokasi berkenaan kerana terdapat seorang mangsa tidak sedarkan diri di dalam rumah.
“Sebaik tiba di lokasi itu, pasukan bomba menggunakan peralatan khas power saw bagi membuka jeriji besi.
“Sebaik pintu berjaya dibuka, terdapat seorang penghuni berada di dalam rumah dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi tamat pada 6.23 petang,” katanya.