KOTA BHARU: Mayat seorang wanita ditemukan terapung di tebing sungai kerana tersangkut di mata ‘taut’ milik pemancing di Kampung Gaung, Pendek di sini, pagi tadi.
Mayat wanita dengan keadaan masih berpakaian serta bertudung itu dijumpai kira-kira jam 9 pagi tadi sebaik pemancing terbabit ke lokasi untuk melihat hasil tangkapan.
Menurut saksi, Shahrul Nazmie Muhamad, 37, dia dipanggil rakannya yang juga pemancing terbabit untuk mengikutnya menaiki bot kerana memaklumkan mengenai penemuan mayat.
Mayat seorang wanita ditemukan terapung di tebing sungai kerana tersangkut di mata ‘taut’ milik pemancing di Kampung Gaung, Pendek, pagi tadi. pic.twitter.com/9dMxP3vVKc
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) November 15, 2024
“Saya ketika itu berada di rumah yang terletak berhampiran sungai dan rakan memberitahu menjumpai mayat sebelum meminta saya agar mengikutnya untuk kepastian berhubung penemuan objek itu.
“Sebaik tiba di lokasinya meletak taut itu, memang sah objek terapung itu adalah mayat seorang wanita dan keadaannya sudah membengkak,” katanya ketika dihubungi.
Shahrul Nazmie berkata, tanpa menyentuh mayat itu, dia terus menghubungi pihak berkuasa memaklumkan penemuan mayat terbabit.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tunjong, Zainal Fitri Husain berkata, pihaknya menerima panggilan jam 10.05 pagi dan anggotanya serta polis menaiki bot ke lokasi untuk mengambil mangsa.
“Sebaik tiba di lokasi, memang benar terdapat mayat seorang wanita tersangkut di mata taut milik pemancing dan terapung dalam sungai.
“Mayat yang sudah membengkak serta agak berbau itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Mayat dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk proses bedah siasat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.