Oleh Kumaran Rajamoney
SUNGAI PETANI: Mayat seorang wanita ditemukan dalam longkang di Taman Perpaduan, Bakar Arang, petang semalam.
Penemuan itu susulan bau busuk yang menjadi pertanyaan penduduk di sekitar kawasan taman perumahan itu, sehingga ada yang menyangka ianya datang dari tandas rumah.
Saksi yang mahu dikenali sebagai Ah Heng, 40-an berkata, dia membersihkan tandas rumahnya berkali-kali bagaimanapun bau busuk itu tidak hilang.
Dia kemudiannya melakukan pemeriksaan di kawasan sekitar dan menemui mayat wanita itu di dalam longkang dalam keadaan ditutup serpihan atap.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, polis menerima laporan kira-kira jam 5.47 petang oleh orang awam.
“Sepasukan anggota dihantar ke lokasi dan pemerhatian awal mendapati mayat wanita terbabit memakai baju kelawar,” katanya ketika dihubungi.
Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dipercayai melakukan siasatan di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat.
Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat.