Oleh Fareez Azman
PETALING JAYA: Kehilangan seorang guru wanita, Istiqomah Ahmad Rozi, 33, yang dilaporkan hilang pada 27 Disember lalu di Kota Masai Johor akhirnya terjawab.
Menurut Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah, ia selepas keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan terhadap ibu mangsa didapati sepadan dengan mayat wanita tanpa identiti yang ditemui di Pulau Sebang, Alor Gajah pada 31 Disember lalu.
“Polis telah menjalankan siasatan dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan pada 2 Ogos oleh Bahagian Data Bank/ DNA (D13), Jabatan Siasatan Jenayah ke atas ibu kepada seorang wanita yang dilaporkan hilang pada 27 Disember 2023 di Johor mendapati ia sepadan.
“Risikan yang dijalankan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Khas (D9), Jabatan Siasatan Jenayah Melaka dengan kerjasama daripada Jabatan Siasatan Jenayah Johor telah berjaya menahan sepasang suami isteri berusia 36 dan 37 tahun di Chemor, Perak,” jelasnya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambahnya, penahanan kedua individu itu membawa kepada penemuan sebahagian lagi anggota badan mangsa di kawasan berhampiran mayat mangsa dijumpai.
Kedua-dua individu itu direman selama 7 hari bermula 6 Ogos lalu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
31 Disember lalu, mayat seorang wanita ditemui tanpa beberapa anggota badan di dalam tong sampah di longkang tepi jalan Alor Gajah-Tampin, Pulau Sebang kira-kira jam 2 petang.
Istiqomah yang juga guru Sekolah Kebangsaan Kota Masai 3, Pasir Gudang itu dilaporkan hilang sejak 26 Disember tahun lalu.
Satu laporan polis dibuat susulan kehilangannya sehari kemudian.
Hari yang sama, polis berjaya menemui kereta serta kunci kenderaan yang dinaiki mangsa di sekitar pusat membelah belah di Kota Masai kira-kira jam 2 petang.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.