SANDAKAN: Pasukan mencari dan menyelamat insiden bot terbalik di perairan Tanjung Batu, di sini hari ini menemui mayat kanak-kanak lelaki tujuh tahun yang dilaporkan hilang semalam.
Mayat Romy Azlan, dijumpai kira-kira jam 11 pagi tadi.
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, mayat ditemui oleh petugas bot ronda kilat 8 agensi penguatkuasaan Maritim Malaysia.
“Pada hari kedua kita sambung semula CARILAMAT pada jam 7 pagi bagi mencari seorang mangsa yang hilang.
“Alhamdulillah kita berjaya menemui mangsa pada jam lebih kurang 11 pagi tadi, 600 meter dari bot terbalik…” katanya dalam sidang media di Sandakan, hari ini.
Menurutnya, mayat kanak-kanak itu dibawa ke jeti Maritim Malaysia Sandakan sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Dalam kejadian semalam, bot dinaiki mangsa bersama lima individu berkenaan dipercayai bertolak dari jeti Pulau Timbang menuju ke Kampung Mumiang.
Bot itu bagaimanapun dipercayai terlanggar satu objek terapung menyebabkan hilang kawalan lalu terbalik.
Lima mangsa selamat namun pelajar darjah satu itu dilaporkan hilang.
Justeru, Zainudin menasihatkan pengusaha dan pemilik bot penumpang supaya mengutamakan penggunaan jaket keselamatan setiap kali melakukan aktiviti di laut.