PADAWAN: Mayat lelaki tanpa identiti ditemukan dalam keadaan reput di dalam sebuah banglo kosong, di Jalan Burung Bunga Api, Batu 3 1/2, Jalan Perinssen di sini.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan penemuan mayat itu jam 7.10 pagi semalam.
Pemeriksaan dijalankan menjumpai mayat mangsa di tangga naik ke tingkat atas banglo dua tingkat itu.
“Mangsa dipercayai mati lebih sebulan lalu berdasarkan keadaan mayat sudah reput (mengecut),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambahnya, tiada dokumen pengenalan diri dijumpai pada mayat mangsa yang memakai kemeja berkolar dan berseluar pendek.
“Terdapat tatu di tangan sebelah tangan mangsa,” katanya.
Siasatan pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak juga menemui lapan eksibit dan satu kesan cap jari.
Katanya, banyak kesan darah turut ditemui di dalam tandas dan dipercayai daripada badan mangsa.
Mayat mangsa dihantar ke unit forensik Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat dan kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
Abang Zainal berkata, rumah banglo itu dipercayai kosong hampir tiga tahun dan dipenuhi dengan semak samun.
Rumah itu pernah disewa peniaga menjual barangan lusuh dan keadaan berselerak.