Tumpuan :
Nasional

Mayat reput ditemui dalam kebun sawit

Mayat lelaki yang sudah mereput ditemui di dalam parit Jalan Pasir Kampung Sungai Payung Baroh, Rungkup petang semalam. Foto : NSTP

BAGAN DATUK: Mayat lelaki tanpa identiti dan sudah pun mereput ditemui dalam sebuah semak di dalam parit Jalan Pasir Kampung Sungai Payung Baroh, Rungkup di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata laporan penemuan itu dibuat oleh orang awam kira-kira jam 4.48 petang.

Menurutnya, mayat dengan baju berwarna merah dan berseluar pendek ditemui dalam keadaan tertiarap di dalam longkang kawasan kebun sawit dengan beberapa kesan luka di bahagian tangan, kaki dan leher.

“Bangsa dan status kewarganegaraan mangsa masih belum dapat dikenalpasti kerana mayat ditemui dalam keadaan mereput tanpa sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hasil bedah siasat terhadap mayat di Bahagian Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh hari ini mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan luka potongan pada bahagian kepala dan leher.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

Beliau turut menyeru orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian untuk tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat kanan kes, Asisten Superintenden Muhammad Nazrin Nasir di talian 019-9146370 bagi membantu siasatan.

Loading...
Terkini