TELUK INTAN: Penemuan mayat reput di lokasi kemalangan berhampiran persimpangan lampu isyarat Pekan Tambun di Ipoh, pagi semalam dipercayai ada padanan dengan satu kes orang hilang.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, berkata perkara itu disahkan selepas semakan dibuat sebaik penemuan mayat reput itu.
“Apabila kita menemui mayat reput berkenaan, kita sudah menyemak semula dalam rekod sistem orang hilang.
“Jadi, kita mendapati ada ‘match’ (sepadan) dengan satu kes orang hilang,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Taman Angkat Amanita PDRM Perak di Tapak Pekan Rabu Langkap, hari ini.
Mohd Yusri berkata, susulan penemuan ini, satu pasukan khas ditubuhkan bagi melakukan siasatan kes secara mendalam dan mengenal pasti identiti mayat reput itu.
“Kita sudah menubuhkan pasukan khas untuk membuat siasatan dengan lebih mendalam lagi.
“Siasatan akan diteruskan selepas mendapat laporan daripada pakar perubatan atau Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) berkenaan punca kematian,” katanya sambil menambah polis tidak menolak kemungkinan mayat dibunuh di lokasi berbeza sebelum dibuang di situ.
“Mayat yang ditemui dipercayai sudah meninggal dunia lebih daripada dua minggu,” katanya.
Semalam media melaporkan, hasil bedah siasat terhadap mayat reput yang ditemukan di lokasi kejadian sebuah kenderaan terbabas ke longkang menunjukkan punca kematian adalah akibat dicekik.
Media sebelumnya turut melaporkan, siasatan awal mendapati tiada kesan kecederaan ketara pada tubuh mayat reput berkenaan.
Terdahulu, polis menemukan satu mayat reput di lokasi kejadian sebuah kenderaan yang terbabas ke longkang berhampiran persimpangan lampu isyarat Pekan Tambun. – BERITA HARIAN