Tumpuan :
Nasional

Mayat remaja lemas ketika memancing di sungai Penderam ditemui

Operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) dilancarkan membabitkan 30 pegawai dan anggota termasuk 17 anggota bomba dan penyelamat dari Balai Penawar, polis, unit marin dan APMM menggunakan tiga buah bot.

Oleh: Zahir Senapiah

KOTA TINGGI: Mayat seorang remaja yang dilaporkan hilang selepas bot yang dinaiki bersama dua lagi rakannya karam, ditemui berdekatan jambatan Kampung Sungai Penderam, dekat sini, petang semalam.

Mayat mangsa yang berumur 15 tahun ditemui orang awam berdekatan Pulau Layang-layang, jam 6.15 petang, kira-kira 7 kilometer (km) dari lokasi bot berkenaan karam.

Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, pihaknya menerima laporan kejadian itu jam 3.56 petang, pada 3 November lalu.

Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) dilancarkan membabitkan 30 pegawai dan anggota termasuk 17 anggota bomba dan penyelamat dari Balai Penawar, polis, unit marin dan APMM menggunakan tiga buah bot.

“Dua rakan mangsa ditemui selamat oleh orang awam pada hari kejadian. Mereka dihantar ke hospital menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan rawatan. Bagaimanapun remaja lelaki berusia 15 tahun gagal ditemui” katanya.

Katanya, usaha mencari pada hari kedua membabitkan kawasan lebih lima kilometer dari lokasi karam gagal menemui mangsa.

Ujarnya, pasukan CARILAMAT pada hari ketiga memperhebatkan usaha mencari dengan membahagikan sektor pencarian kepada tiga kawasan.

Pasukan CARILAMAT turut menggunakan Khidmat dron dan unit anjing pengesan K9 JBPM.

Mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk proses pengecaman dan tindakan lanjut.

Dua rakan mangsa yang berumur 21 dan 23 tahun dilaporkan dalam keadaan stabil.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini