Tumpuan :
Nasional

Mayat remaja lemas bersama motosikal ditemukan

Jasad Nur Haidhar Nasrul, 17, yang ditemui lemas di Sungai Padang Terap, Chegar. – FOTO: Ihsan Bomba

Oleh: Selwam Arjunan

PENDANG: Mayat seorang remaja lelaki yang lemas di sungai selepas dipercayai terbabas bersama motosikalnya petang semalam di Titi Chegar, di sini, ditemukan pasukan penyelamat pagi tadi.

Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Penguasa Kanan Bomba 1, Ahmad Aminuddin Abd Rahim, berkata operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) diteruskan pada jam 7 pagi selepas ditangguhkan malam tadi.

Menurutnya, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.16 petang semalam berhubung kejadian lemas itu.

“Hasil pemeriksaan mendapati sebuah motosikal jenis Modenas Kriss berada di dalam sungai, dan penunggangnya dipercayai terjatuh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mangsa dikenal pasti sebagai Nur Haidhar Nasrul, 17 tahun.

“Selaman pertama dilakukan pada jam 10.34 pagi, diikuti selaman kedua 25 minit kemudian.

“Ketika selaman ketiga, mangsa berjaya ditemukan pada jam 11.18 pagi dalam jarak 10 meter dari lokasi dia dipercayai terjatuh,” katanya.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini