Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah
KEMAMAN: Seorang pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Neram yang dilaporkan hilang dibawa arus ketika mandi di Sungai Neram semalam, ditemukan lemas.
Mayat Mohd Yusuf Adnan, ditemukan terapung pada jarak 400 meter dari lokasi kejadian, jam 8.10 pagi tadi.
Komander Operasi Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat (STORM) Zon 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Mohd Zailani Abdullah berkata, pasukan penyelamat melakukan pencarian di kawasan tebing sungai bermula malam tadi hingga ke pagi ini.
Menurut Mohd Zailani, mayat mangsa ditemui tersangkut pada ranting dan dahan kayu yang berada dalam sungai sedalam kira-kira 2.5 meter.
Ketika membuat pencarian, pasukan penyelamat telah ternampak satu objek bewarna biru menyerupai pakaian mangsa di permukaan air dan apabila didekati dengan menggunakan bot, pihaknya mengesahkan objek tersebut ialah mayat mangsa yang hilang.
Mangsa masih lengkap berpakaian sebelum dibawa naik ke darat dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Penemuan mangsa yang dijumpai pagi ini susulan daripada pemantauan berkala bermula dari malam tadi, secara berterusan, kita membuat pemantauan di sepanjang tebing sungai yang mana pada jam 8.10 pagi tadi, kita berjaya menemui mangsa”, katanya.
Tambahnya, operasi pencarian pada pagi ini yang bermula pada jam 7.00 pagi telah melibatkan kekuatan seramai dua puluh orang anggota serta dibantu oleh pihak PDRM dan penduduk kampung.
Mayat mangsa kemudiannya di bawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman, untuk tindakan lanjut.