![](https://media.buletintv3.my/2025/02/BULETIN-TV3-N-2025-02-11T231117.640.jpg)
TUMPAT: Mayat lelaki warga Thailand ditemui di pesisir Pantai Geting di sini, tengah hari tadi.
Mangsa yang berusia 40 tahun ditemui pengunjung pantai sebelum memaklumkan kepada anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang bertugas di menara penyelamat APM tidak jauh dari lokasi.
Menurut ketua petugas menara penyelamat Raja Andik Muhammad Irwan, orang awam memaklumkan penemuan itu pada 1 tengah hari.
“Saksi mengatakan objek seperti patung dan tidak berani untuk mendekati, jadi dia datang beritahu kami.
“Saya bergegas ke lokasi penemuan yang berjarak kira-kira 100 meter dan objek didapati mayat lelaki, malah pemeriksaan mendapati dia sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya lagi, berdasarkan maklumat diperoleh, mangsa mungkin pemancing warga Thailand yang hilang selepas bot dinaiki bersama rakan karam.
“Saya hubungi rakan mangsa di Takbhai untuk mengesahkan dan mereka maklum mangsa keluar memancing 5 pagi tadi dan sempat maklumkan bot dinaiki rosak.
“Seorang lagi mangsa yang berusia 34 tahun masih belum ditemui dan difahamkan pencarian dilaksana pihak berkuasa Thailand,” katanya.
Raja Andik berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.