GUA MUSANG: Lelaki Orang Asli kaum Batek yang dilaporkan hilang selepas didakwa diserang harimau Selasa lalu, disahkan maut selepas mayatnya ditemukan di Kuala Sungai Tunggul petang semalam.
Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemui mayat Halim Asin, 27, jam 5.10 petang dalam keadaan terlungkup dan tersangkut pada tunggul kayu, kira-kira dua kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, mengesahkan penemuan mayat mangsa susulan pencarian dilakukan kumpulan penyelamat terdiri anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan pasukan Gerakan Am (PGA) melalui jalan air.
“Mangsa dipercayai hanyut sehingga sampai di lokasi mayatnya ditemukan pasukan SAR. Ketika ditemui mangsa hanya memakai baju tanpa seluar.
“Ketika ditemui hari sudah gelap dan agak berbahaya kepada pasukan penyelamat. Jadi pasukan penyelamat mengambil keputusan mengeluarkan mayat pagi ini dan sampai ke tebing Sungai Aring 5 jam 12.30 tengah hari tadi,” katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Kampung Aring 5, hari ini.
Dalam kejadian Selasa lalu, Halim dilapor hilang ketika memancing di Hulu Sungai Aring dengan anak saudaranya yang berusia lapan tahun yang menemaninya.
Mangsa mendakwa mereka diserang harimau.
Choo Foo bagaimanapun tidak mengulas mengenai dakwaan membabitkan serangan harimau itu.
Mayat mangsa dibawa ke unit Forensik Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.
Sementara itu, abang ipar mangsa, Kuang Cemetong, 31, mengakui lega apabila mayat Halim ditemukan pada hari kedua operasi.
“Saya antara yang pertama melihat mayatnya. Perasaan ketika itu sangat sedih, namun lega apabila Halim akhirnya ditemukan.
“Keluarga masih belum dimaklumkan penemuan mayat Halim dan balik nanti saya akan beritahu kepada ayah, kakak serta anaknya” katanya yang turut menyertai operasi sejak Rabu lalu.