SUNGAI BULOH: Bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah dipercayai sudah meninggal dunia beberapa hari sebelum mayatnya ditemui, semalam.
Ini berdasarkan keadaan mayatnya ketika ditemui dalam sebuah paya di ladang kelapa sawit berhampiran Gedangsa, Hulu Selangor semalam, yang sudah mulai mereput.
Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mangsa dipercayai telah meninggal dunia beberapa hari sebelum ditemui semalam.
“Ketika mayat mangsa ditemukan, keadaannya sudah hampir reput kerana telah meninggal dunia beberapa hari.
“Buat masa ini kita belum dapat memastikan jenis kecederaan yang dialami. Perlu tunggu proses bedah siasat yang dijalankan petang ini selesai,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Dalam pada itu, Hussein berkata masih terlalu awal pihaknya untuk membuat sebarang kesimpulan berhubung motif kejadian selain tiada sebarang rampasan senjata di lokasi penemuan mayat termasuklah dakwaan perselisihan faham antara mangsa dan suspek.
Sebelum itu, suspek berusia 26 tahun yang juga anggota polis bertugas di Kontinjen Perak telah direman tujuh hari sehingga 22 Julai depan untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Siasatan awal polis mendapati tempat penemuan mayat adalah lokasi utama kejadian pembunuhan.
Nur Farah Kartini dilaporkan yang hilang sejak 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan di Tanjung Malim, Perak.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.
| ARTIKEL BERKAITAN
- Seorang penjawat awam ditahan, susulan penemuan mayat Nur Farah Kartini
- Wanita dilaporkan hilang selepas hantar kereta sewa kepada pelanggan
- Mayat Nur Farah Kartini ditemukan, dipercayai dibunuh
- Kes bunuh Farah Kartini: Suspek disahkan anggota polis
- [VIDEO] Kes bunuh Farah Kartini: Pasal lelaki itu saya tak tahu apa-apa – Abang mangsa