Oleh: Kumaran Rajamoney
PARIT: Usaha pencarian dua remaja yang dihanyutkan arus Sungai Perak, dekat Kampung Tepus di sini petang semalam membawa kepada penemuan mangsa pertama kira-kira jam 4.45 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supritenden Hafezul Helmi Hamzah memaklumkan mayat Muhammad Nazrin Haidar Mohd Hisham berjaya ditemui pasukan penyelamat setelah melakukan kaedah pusaran di kawasan-kawasan yang telah dikenalpasti.
“Hasil daripada kaedah itu, mayat mangsa berjaya timbul dan kawasan penemuan adalah berhampiran tempat mangsa terjun dan lemas.”
“Usaha masih diteruskan bagi mengesan seorang lagi mangsa iaitu Muhammad Naufal Aiman Dzulkarnain,” katanya.
Kedua-dua mangsa berusia 16 tahun, sebelum itu bermain bola bersama tiga lagi sahabat mereka di beting pasir, di tebing Sungai Perak.
Jabatan Bomba dan Penyelamat menerima laporan kehilangan kedua-dua remaja itu kira-kira jam 4.21 petang sebelum operasi mencari dan menyelamat digerakkan.
Usaha pencarian disambung pagi tadi dengan menggunakan kekuatan pasukan Polis, Bomba dan Penyelamat, dan komuniti nelayan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.