Tumpuan :
Nasional

Mayat Muhammad Rosman ditemui tidak jauh dari kawasan hanyut

PADANG TERAP: Remaja orang kurang upaya (OKU) pembelajaran yang dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir di Kampung Tanjung Kanan ditemui lemas hari ini.

Mayat Muhammad Rosman Rohadi, 19, ditemui Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah yang melakukan pencarian kira-kira 150 meter dari lokasi mangsa dihanyutkan arus deras, pagi tadi.

Ketua Zon 1, JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata, mayat mangsa ditemui pada jam 5.35 petang ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan lebih 10 jam dilakukan di lokasi.

Beliau berkata, mayat mangsa dipercayai tersangkut pada pelepah kelapa sawit di dasar kawasan banjir.

“Bagaimanapun setakat jam 6 petang hari ini, operasi SAR mencari ibu mangsa, Salmah Mat Zain, 46, masih diteruskan,” katanya ketika ditemui media di lokasi pencarian.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar berkata, penemuan sepasang selipar wanita dan sebelah selipar lelaki dipercayai menjadi petunjuk baharu untuk membantu operasi diteruskan.

Beliau berkata, penemuan selipar si ibu dan si anak itu ditemui pasukan penyelamat pada jam 3 petang tadi.

“Keadaan air surut membolehkan operasi pencarian diteruskan sebelum mayat di si anak ditemui tidak lama kemudian.

“Operasi akan diteruskan untuk mencari si ibu di lokasi pencarian sehingga jam 7 petang hari ini,” katanya di lokasi hari ini.

Mulkiaman berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut sebelum dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.

Media sebelum ini melaporkan, dua beranak dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan air deras akibat banjir di Kampung Tanjung Kiri, Jalan Padang Sanai, di sini, hari ini.

Kedua-dua mangsa, Muhammad Rosman Rohadi, 19, dan ibunya, Salmah Mat Zain, 46, yang dipercayai cuba berpaut pada pokok sebelum dihanyutkan air deras di kawasan kampung yang dilanda banjir itu.

Kedua beranak itu dipercayai dihanyutkan arus deras selepas pulang dari membeli nasi lemak.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini