Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Mayat Mohammad Rayyan Alif jatuh longkang ditemui


KOTA TINGGI: Hari ketiga operasi mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak sembilan tahun yang hilang selepas terjatuh ke dalam longkang dekat Taman Kota Jaya di sini, akhirnya menemukan mayat kanak-kanak itu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman, berkata operasi SAR hari ketiga hari ini dimulakan pada jam 8.30 pagi sebelum mayat Mohammad Rayyan Alif Mohd Sharif ditemui kira-kira 10.20 pagi tadi.

Beliau berkata, mayat kanak-kanak itu ditemui terapung di permukaan air ketika pencarian diteruskan dengan menyusuri Sungai Johor.

“Operasi SAR diteruskan bagi mengesan seorang kanak-kanak lelaki tempatan berusia sembilan tahun yang dilaporkan hilang dipercayai dihanyutkan arus air deras di Taman Kota Jaya di sini.

“Hasil pemantauan yang dijalankan oleh pasukan mencari dan menyelamat dengan menyusuri Sungai Johor menggunakan bot telah menjumpai satu mayat dipercayai seorang kanak-kanak lengkap berpakaian terapung di atas permukaan air,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurut beliau, waris kanak-kanak itu sudah mengesahkan mayat yang dijumpai adalah ahli keluarga mereka yang dilaporkan hilang.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Bahagian Forensik, Hospital Kota Tinggi (HKT) di sini, untuk tindakan prosedur siasatan.

“Kes diklasifikasikan di bawah laporan mati mengejut (SDR),” katanya.
Kelmarin, Yusof dilaporkan berkata, Mohammad Rayyan Alif dipercayai jatuh ke dalam longkang kira-kira jam 3 petang, ketika hujan lebat.

Beliau dilaporkan berkata, ketika kejadian, kanak-kanak itu dikatakan hendak mengambil selipar yang jatuh ke dalam longkang yang dipercayai ketika itu air deras serta dalam.

Operasi SAR dilancarkan sejurus laporan diterima membabitkan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi, Balai Bomba Kota Tinggi, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Unit K9 Bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan JPKK Kampung Kelantan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini