KOTA KINABALU: Misteri bau busuk dari bilik sewa di tingkat dua sebuah premis di Jalan Lorong Haji Yacoob, Kampung Air di sini, terungkai selepas penemuan mayat seorang lelaki malam semalam.
Mayat lelaki berusia lingkungan 30 tahun itu ditemui dalam keadaan membengkak dan berbau di atas tilam bilik sewanya, kira-kira jam 9 malam.
Difahamkan, penghuni bilik sewa lain di premis berkenaan curiga dengan bau busuk dan cecair mengalir dari bilik berkenaan sejak petang semalam.
Penghuni kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada pengurus premis sebelum membuka pintu bilik dan menemui mayat dalam keadaan terbaring di atas tilam.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, siasatan mendapati mangsa adalah pekerja di sebuah restoran yang terletak di tingkat bawah bilik sewanya.
Katanya, penemuan mayat lelaki itu tidak mempunyai sebarang unsur jenayah.
“Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) dan bedah siasat akan dilakukan hari ini bagi mengetahui punca kematian.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.