
GEORGE TOWN: Mayat seorang lelaki yang dilaporkan terjun dari Jambatan Pulau Pinang semalam ditemui kira-kira 300 meter dari jeti Pasukan Polis Marin pada jam 1.21 tengah hari tadi.
Mangsa, berusia 34 tahun, disahkan meninggal dunia dan mayatnya dibawa ke jeti sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.47 pagi, semalam, mengenai insiden seorang lelaki terjun dari jambatan di Kilometer 7.4 arah George Town ke Perai.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak serta Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) dari BBP Butterworth.
“Mereka dikerahkan bersama jentera CFRT, kenderaan Unit EMRS, dua bot dan sebuah kenderaan utiliti Toyota Hilux,” kata kenyataan itu.
Punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.