RANTAU PANJANG: Mayat seorang lelaki ditemukan orang awam di dalam parit air di belakang Masjid Kampung Kubang Rambutan, di sini, jam 10.03 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, pihaknya menerima laporan dan segera ke lokasi kejadian sebelum mendapati terdapat mayat di dalam parit berkenaan
Katanya, siasatan awal oleh pihak polis mendapati mangsa adalah seorang lelaki dipercayai berbangsa Melayu berusia 54 tahun dan menetap di Kampung Gual Sitok, Gual Periok, di sini.
“Mayat ditemui dalam keadaan terapung di permukaan air yang dipenuhi sampah sarap dengan berpakaian lengkap.
“Anggota bertugas kemudian membawa keluar mayat berkenaan sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Pasir Mas (HPM) untuk tujuan bedah siasat.
“Selain itu, anggota membuat pemeriksaan di sekitar tempat kejadian dan mendapati terdapat kesan kemalangan motosikal terbabas masuk ke dalam parit air namun motosikal terbabit tidak dijumpai selain tidak menerima sebarang laporan kehilangan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Kama Azural berkata, mayat berkenaan disyaki telah hanyut dan tersangkut di kawasan parit bersama sampah sarap
“Sementara itu, pemeriksaan awal ke atas mangsa didapati tiada sebarang kesan kecederaan yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah dan ia diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Kami menyeru agar masyarakat untuk menyalurkan sebarang maklumat balaipolis berhampiran agar tindakan awal dapat diambil dengan segera.
“Orang ramai yang mempunyaisebarang pertanyaan dan maklumat juga boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas ditalian 09-7932222,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.