KOTA TINGGI: Mayat seorang lelaki yang dipercayai mati lemas ditemui terdampar di Pantai Desaru di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mayat itu kira-kira jam 7.30 pagi.
“Kaunter aduan Balai Polis Bandar Penawar menerima satu makluman mengenai penemuan mayat lelaki yang terdampar di Pantai Desaru.
“Sepasukan anggota digerakkan untuk menjalankan siasatan di lokasi kejadian.
Mangsa dipercayai seorang lelaki lingkungan usia 30 hingga 40 tahun, berkulit cerah dan warga tempatan berbangsa Cina,” katanya menerusi kenyataan media.
Beliau berkata, mayat itu ditemui tanpa sebarang dokumen pengenalan diri dan hanya berseluar pendek warna putih.
“Pemeriksaan yang dijalankan pegawai kesihatan Klinik Kesihatan FELDA Sening di lokasi kejadian mengesahkan lelaki itu sudah meninggal dunia.
“Mayat kemudian dibawa ke Bahagian Forensik, Hospital Kota Tinggi untuk tindakan lanjut dan hasil bedah siasat yang dijalankan mengesahkan kematian disebabkan lemas.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai waris mangsa atau mempunyai ahli keluarga yang hilang boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Asnalisz Zainal di talian 016-4446871,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.