Oleh: Fareez Azman
PETALING JAYA: Mayat lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) warga emas ditemui dalam keadaan reput di dalam sebuah kondominium di sini petang semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan mayat itu daripada orang awam kira-kira jam 12.48 tengahari semalam.
“Mangsa berada di dalam bilik air dan tidak sedarkan diri dipercayai meninggal dunia beberapa hari yang lalu.
“Berdasarkan keadaan mayat, polis percaya mangsa telah meninggal dunia dalam tempoh lima hingga enam hari. Dia duduk seorang diri di rumah itu.
“Mangsa berusia 62 tahun, dia ada rekod Orang Kurang Upaya (OKU) mental dan mangsa mempunyai beberapa penyakit,” jelasnya ketika dihubungi Buletin TV3.
Mengulas lanjut jelasnya, pemeriksaan di lokasi kejadian bagaimanapun tidak menjumpai sebarang unsur jenayah.
Mayat dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa