BIDOR: Mayat lelaki yang lemas ditemukan jam 9.21 pagi tadi di sebuah lombong berhampiran tapak perlupusan sampah dekat Jalan Pintas Bidor-Teluk Intan di sini.
Dalam kejadian itu, mangsa, M. Krisnan, 45, dipercayai pergi ke lombong terbabit untuk memukat ikan sebelum dilaporkan hilang.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, pihak bomba menerima laporan berhubung kejadian kira-kira jam 1.33 tengah hari, semalam.
Sepasukan anggota dan pegawai bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor telah dikejarkan ke tempat kejadian.
“Hari ini, operasi mencari dan menyelamat mangsa (SAR) turut melibatkan 29 anggota dan pegawai penyelamat termasuk 10 anggota polis dan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari BBP Kuala Kangsar serta Unit Anjing Pengesan (K9),” katanya.
Pencarian mangsa pagi ini bertumpu di ‘hot spot’ di mana jaring milik mangsa ditemui semalam dengan jarak kira-kira 30 meter dari tebing dengan menggunakan kaedah pusaran air.
Sayani berkata, dua buah bot juga telah digunakan dan mangsa telah ditemui berdekatan tebing lombong itu selepas kaedah terbabit digunakan kira-kira jam 9.21 pagi tadi.
Katanya, mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat pada jam 10 pagi.