MIRI: Mayat seorang Lelaki yang dilaporkan lemas ketika memeriksa pukat di dalam parit di Ladang Dulang Charquest Suai, Batu Niah semalam, ditemukan pagi tadi.
Mayat mangsa, Robin Simpurai berusia 33 tahun ditemui terapung kira-kira 15 meter dari lokasi mangsa dipercayai tenggelam sekitar jam 10.20 pagi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, dalam kejadian semalam mangsa bersama rakannya keluar memeriksa pukat yang dipasang mereka di parit di ladang terbabit.
“Ketika memeriksa pukat itu, mangsa mendapati pukat terbabit telah tersangkut lalu mangsa bertindak menyelam ke dalam parit itu untuk membetulkan pukat berkenaan.
“Bagaimanapun mangsa tidak timbul menyebabkan rakan mangsa membuat laporan mengenai kejadian berkenaan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau berkata, anggota yang terlibat dalam mencari dan menyelamat (SAR) terpaksa meminta bantuan jengkaut daripada pihak ladang bagi mengorek laluan ‘culvert’ selepas usaha mencari mangsa gagal akibat keadaan arus deras di dalam parit terbabit.
Bagaimanapun operasi terbabit terpaksa dihentikan semalam sekitar jam 8.30 malam akibat cuaca gelap sebelum disambung semula pagi tadi.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.