Tumpuan :
Nasional

Mayat lelaki gempal ditemukan terapung dalam bekas lombong

Mayat lelaki warga asing ditemukan terapung di sebuah bekas lombong. – FOTO: PDRM

DENGKIL: Mayat seorang lelaki ditemukan terapung di sebuah bekas lombong berhampiran tapak projek perumahan di Cybersouth, di sini, hari ini.

Mayat lelaki dipercayai warga asing itu ditemui seorang individu yang ingin memancing di kawasan tebing bekas lombong kira-kira 2.30 petang.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, individu berkenaan melihat satu objek menyerupai manusia dalam keadaan terapung pada jarak kira-kira 300 meter.

Menurutnya, saksi menghampiri objek berkenaan dan mendapati mayat seorang lelaki lengkap berpakaian.

“Saksi kemudiannya menghubungi balai polis Dengkil dan sepasukan forensik bersama tiga anggota hadir ke lokasi kejadian.

“Pasukan bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat Dengkil dipanggil bagi membantu mengangkat mayat ke tebing tasik,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Wan Kamarul berkata, hasil pemeriksaan mendapati mayat lelaki yang tidak pasti bangsa tanpa dokumen itu lengkap berpakaian T-shirt berwarna hitam dan berseluar jeans berwarna hitam paras lutut serta bertali pinggang.

Menurutnya, mayat dianggarkan berketinggian kira-kira 180 sentimeter dan bertubuh gempal dipercayai warga asing berdasarkan tiada tanda suntikan BCG pada lengan mangsa.

“Hasil pemeriksaan forensik mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan mayat disyaki meninggal dunia kira-kira tiga hari lalu berdasarkan keadaan tubuh badan mangsa yang sudah lebam dan mengelembung serta kulit menggelupas.

“Pemeriksaan di sekitar kawasan lombong seluas kira-kira 10 ekar tidak menjumpai sebarang kenderaan digunakan mangsa dan Unit Anjing Pengesan (K9) yang membantu siasatan tidak menjumpai sebarang petunjuk,” katanya.

Menurutnya, kawasan lombong yang tidak berpagar dan boleh dimasuki secara bebas adalah tumpuan orang ramai untuk memancing.

Mayat dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Loading...
Terkini