comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Mayat lelaki ditemukan, dibaham buaya ketika cari ketam 

 

Oleh: Safwan Sawi

LAHAD DATU: Mayat lelaki yang dipercayai dibaham buaya ketika menangkap ketam di kawasan laut Kampung Tinagian, Tanjung Labian, di sini, ditemukan pagi tadi.

Mayat lelaki warga asing berusia 23 tahun itu ditemukan dalam keadaan tertiarap di tepi pantai berhampiran Pos ATM, Kampung Tanjung Batu, jam 7.20 pagi.

PDRM IPD Lahad Datu

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, mangsa adalah pekerja am di sebuah ladang kelapa sawit dibaham buaya ketika menangkap ketam bersama tiga rakannya di kawasan laut berkenaan.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada awal pagi ketika mangsa bersama tiga rakannya sedang menangkap ketam di kawasan laut berkenaan.

PDRM IPD Lahad Datu

“Ketiga-tiga rakannya melihat mangsa dibaham buaya dan tidak dapat berbuat apa-apa kerana kejadian berlaku terlalu pantas sebelum mangsa hilang dari kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Rohan berkata, seterusnya pada 7.20 pagi hari yang sama, mayat mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap di tepi pantai berhampiran Pos ATM Kampung Tanjung Batu.

Katanya, terdapat kesan gigitan pada badan mangsa iaitu di bahagian lengan kiri dan kepala.

PDRM IPD Lahad Datu

“Selain itu, terdapat kesan calar di bahagian dada dan belakang leher serta punggung mangsa.

“Polis dari Balai Polis Kencana tiba di lokasi sebelum membawa mayat mangsa ke Jabatan Forensik, Hospital Lahad Datu bagi tujuan bedah siasat,” katanya.

PDRM IPD Lahad Datu

Orang ramai di daerah ini terutama yang menjalankan aktiviti di laut atau sungai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika menjalankan aktiviti di persisiran pantai.

“Ini adalah kes yang pertama bagi tahun ini dan satu siasatan laporan mati mengejut dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu bersangkut dengan kejadian ini,” katanya.

Loading...
Terkini