Tumpuan :
Nasional

Mayat lelaki ditemui terapung di Sungai Klang

Mayat lelaki ditemui terapung di Sungai Klang dibawa naik pasukan penyelamat daripada BBP Pantai. FOTO: JBPM

KUALA LUMPUR: Mayat seorang lelaki dipercayai warga tempatan ditemui terapung di sungai berhampiran Blok 94, Program Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Limau, di sini, hari ini.

Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur (PGOKL) dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan MERS 999 berhubung penemuan mayat itu pada jam 11.34 pagi.

“Sebuah jentera bersama tujuh tujuh anggota lain-lain pangkat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai dikerah ke lokasi kejadian sebagai ‘first responder’.

“Menurut Komander Ramli Mohamad, setibanya pasukan di lokasi kejadian mendapati terdapat mayat seorang lelaki terapung,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pasukan operasi menggunakan tali dan pengusung untuk membawa naik mayat ke tebing sungai.

Katanya, mayat dibawa keluar dari air kira-kira jam 12.33 tengah hari, hari ini.

“Mayat dipercayai seorang lelaki tempatan dan lain-lain maklumat tidak dapat dikenal pasti.

“Seterusnya mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini