PAPAR: Mangsa ketiga insiden lemas di Pantai Kampung Bundusan, di sini, Khamis lalu dikatakan cuba menyelamatkan anak saudaranya sebelum hilang.
Mayat Karl Marx Vitalis, 48, ditemui pada jam 12.02 tengah hari tadi, selepas dua hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Penolong Penguasa Bomba, Rozlan Osman berkata, mangsa ditemui pasukan bomba kira-kira 1.5 kilometer dari tempat mangsa dilaporkan hilang.
“Teknik pencarian iaitu operasi menyelamat di permukaan air (Surface Water Rescue) dan pasukan bomba menemui mangsa pada jarak 1.5 kilometer dari mangsa dilaporkan hilang.
“Mangsa seterusnya dibawa ke tepi pantai dan disahkan meninggal dunia. Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, operasi pencarian ditamatkan sepenuhnya jam 1.32 tengah hari.
Dalam kejadian kira-kira 5 petang Khamis lalu, Razq Aariz Julkarnain Abd Aziz, 14, dan Rubern Vitalis, 7, ditemui lemas selepas dihanyutkan arus ombak ketika mandi di pantai berkenaan, manakala Karl Marx Vitalis yang cuba menyelamatkan anak saudaranya itu hilang sebelum SAR ketiga diteruskan hari ini.
Seorang lagi mangsa iaitu Matthew Kana Vitalis, 12, berjaya diselamatkan penduduk kampung.
Terdahulu, operasi SAR dijalankan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah termasuk Unit Dron, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang awam.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.