KAJANG: Seorang lelaki yang dipercayai tinggal seorang diri, ditemui meninggal dunia dengan mayatnya membengkak dan mereput di sebuah rumah di Jalan Penghulu Seksyen 2, Bandar Mahkota Cheras, di sini, malam tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail, berkata lelaki berusia 46 tahun itu tinggal seorang diri di sebuah rumah pangsa di tingkat empat.
“Ketika ditemui, keadaan lelaki berkenaan yang berada di atas katil membengkak dan sedang dalam proses pereputan”, katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.26 malam tadi .
Tujuh anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang digerakkan ke lokasi kejadian.
“Mayat lelaki terbabit dikeluarkan oleh pihak bomba dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” jelasnya.