Tumpuan :
Nasional

Mayat lelaki ditemui depan kedai serbaneka di Kuching

Foto: PDRM

KUALA LUMPUR: Mayat seorang lelaki tanpa identiti ditemui depan sebuah kedai serbaneka di Kuching, Sarawak siang tadi.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima makluman daripada orang awam di lokasi kira-kira jam 1.15 tengah hari.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Balai Polis Sungai Maong segera dikerahkan ke tempat kejadian dan mendapati individu berkenaan tidak memberi sebarang respon.

“Pasukan perubatan yang tiba di lokasi kemudian mengesahkan bahawa lelaki itu telah meninggal dunia,” katanya.

Siasatan awal mendapati mangsa adalah seorang penganggur dan gelandangan yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

Berdasarkan pemerhatian awal, mangsa dipercayai berusia dalam lingkungan 40 hingga 50 tahun.

Mayat lelaki berkenaan telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk proses bedah siasat, yang akan dijalankan sebaik waris dapat dihubungi.

Orang awam yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai sebarang maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Inspektor Awang Ramzi Awang Junaidi (Ketua Polis Balai Sungai Maong) di talian 019-8444123 atau Balai Polis Sungai Maong di talian 082-420469.

Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Loading...
Terkini